Sedikit Coretan Pengalaman Mengajar Tasawwur Islam Selama 14 Tahun
Semua pelajar mengharapkan kecemerlangan dalam peperiksaan. Betul kan? Siapa yang boleh menafikan situasi ini.
Cuma saya ingin berkongsi beberapa situasi dengan anda semua. Ia adalah sebagai satu panduan untuk kita lebih mengenali korelasi antara kemahuan kita dengan kemampuan kita.
 |
Buku Teks Tasawwur Islam Tingkatan 5 |
Situasi 1:
Seorang pelajar asalnya mengambil aluran sains tulen. Jadi dia mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Islam, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi. Kemudian menghubungi saya melalui telefon untuk mendaftar mata pelajaran Tasawwur Islam.
Pelajar ini sebenarnya tingkatan 5. Menjadi masalah ialah dia tidak pernah belajar Tasawwur Islam ketika di tingkatan 4.
Saranan saya. Jika dia mampu membeli sebuah buku rujukan kemudian cuba kuasai tajuk tingkatan 4 dahulu dalam masa 3 bulan. In sha Allah dia boleh score.
Alhamdulillah atas usaha dirinya dia mendapat A dalam Tasawwur Islam.
Situasi 2:
Seorang pelajar yang mengambil 6 mata pelajaran teras kemudian dia ada mengambil matematik tambahan, prinsip perakaunan dan perdagangan. Dia merupakan pelajar yang sedikit bermasalah kerana ketika dia di tingkatan 4 dia tidak hadir ke sekolah hampir setahun.
Ketika itu dia tidak buat apa-apa kerja kursus untuk subjek Prinsip Perakaunan. Lalu pelajar ini dicadangkan untuk drop subjek MT dan PA dan daftar untuk subjek Tasawwur Islam.
Saya berpesan kepadanya, jika dia rajin lebih dia akan lulus dalam peperiksaan SPM. Dan atas kelemahan saya, dia gagal dalam Tasawwur Islam.
Situasi 3:
Seorang pelajar berjumpa saya. Tujuannya dia nak daftar subjek Tasawwur Islam. Dia sudah mengambil 6 mata pelajaran teras iaitu BM BI Math Sn Sej PI dan 2 elektif iaitu Perdagangan dan PSV.
Pelajar ini daripada kategori pelajar lemah. Dia juga tak pernah belajar Tasawwur Islam ketika di tingkatan 4. Saya bertanya juga kenapa dia berhasrat mendaftar Tasawwur Islam?
Jawapannya ialah. Dua orang kakaknya telah ambil subjek ni. Dan lulus. Dan kakaknya memaklumkan kepadanya bahawa subjek ini senang. Wow!
Jawapan saya pula ialah ia bukan semudah yang di sangka. Jika dia nak dia perlu berusaha lebih. Yang membimbangkan ialah BM dia juga sukar untuk berada dalam kelompok lulus. Jadi atas sebab itu saya tidak cadangkan dia ambil risiko atas subjek yang belum belajar lagi.
 |
Panduan Guru. Perlu ada untuk memudahkan proses PdP |
Apa Yang Boleh Kita Simpulkan?
Situasi ini menggambarkan bahawa Tasawwur Islam ini bukan satu subjek yang boleh dianggap remeh. Mudah di "tackle". Ia juga subjek yang memerlukan usaha dan kemahiran mengenal pasti kehendak soalan (stem) bagi merungkaikan jawapannya.
Kemahiran ini perlu di bina kerana ia dapat membantu pelajar memberi jawapan yang tepat.
Apatah lagi saya juga boleh berkongsi mengenai pendekatan "Jawapan Bocor" kepada pelajar. Oppsss... ingat ya. Saya tak bagi soalan bocor atau soalan yang macam nak keluar. Sebab peraturan pemarkahan atau peraturan penskoran akan berubah mengikut penggubal item tersebut.
Jadi saya mengambil inisiatif untuk mendedahkan bagaimana satu jawapan boleh digunakan untuk beberapa soalan yang berlainan. Tapi ia perlukan kemahiran untuk digunakan.
Percayalah. Setiap usaha anda yang berganda pasti Allah SWT balas dengan kejayaan yang setara. Usaha kemudian buat latihan kemudian bertanya guru kemudian berdoa kemudian tawakkal kepada Allah SWT merupakan cara terbaik untuk mendapatkan kecemerlangan.
Doa kejayaan A+ daripada saya untuk anda semua.
"Mohd Zazali bin Mohamad Zin"
- Guru Cemerlang Tasawwur Islam -